Semasa

Lori ais rempuh dinding masjid

By  | 

“MUJURLAH kejadian berlaku agak lewat kalau tidak pasti motosikal jemaah yang diletakkan di luar turut dirempuh,” kata kariah Masjid Al- Khairiah Telok Mas, Melaka, Abdul Shukor Mohd Said, 62.

Dalam kejadian jam 9.30 malam tadi, dinding hadapan Masjid Al- Khairiah Telok Mas roboh selepas dirempuh lori ais.

Abdul Shukor berkata, ketika itu hanya tinggal tiga jemaah yang masih berada di masjid sedang menunaikan solat sunat selepas kuliah.

Katanya, dia yang mahu pulang ternampak lori ais berkenaan menghala ke arah masjid sebelum disusuli dentuman kuat.

“Ketika itu saya hanya tunggu untuk lari kalau lori berkenaan menghala ke arah tempat saya berdiri.

“Dalam sekelip mata lori itu merempuh dinding sebelah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, lori dinaiki dua lelaki itu dalam perjalanan dari arah Pernu menghala ke Alai.

“Difahamkan oleh pemandu, dia mahu mengelak kereta di hadapannya sebelum terbabas ke kiri,” katanya.

Sementara itu, Sidang Telok Mas, Paisal Saleh berkata, kerosakan akibat daripada rempuhan itu dianggarkan berjumlah kira-kira RM6,000.

“Selain dinding yang dirempuh, kita juga perlu menukar sebahagian karpet yang pastinya menelan kos tinggi.

“Laporan polis sudah dibuat malam tadi di Balai Polis Kandang,” katanya. – HARIAN METRO