Politik

Mansuh skim pencen: Siasat pengurusan kewangan PH

By  | 

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya sebuah badan bebas yang berintegriti dilantik untuk menyemak semula sistem kewangan negara dan percukaian negara.

Ini kerana, terbukti kerajaan sekarang lemah dalam menguruskan hasil pendapatan negara hingga mahu memansuhkan skim berpencen bagi memberi penjimatan RM5 bilion.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, situasi semasa sebenarnya menunjukkan kelemahan memuncak kerajaan dalam menjana dan menguruskan hasil pendatapan negara.

“Sudah sepatutnya penentuan sektor utama ekonomi utama, dasar dan sistem percukaian serta pengurusan kewangan kerajaan disemak semula dengan teliti oleh institusi berautoriti yang bebas dan pakar,” katanya menerusi kenyataan media.

Tegasnya, menjadikan penjawat awam sebagai mangsa dalam usaha penjimatan bukanlah langkah terbaik pada masa ini jika dibandingkan dengan keperluan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan sektor tersebut yang berhadapan dengan kenaikan jumlah rakyat.

“Pada masa ini ia bukanlah keutamaan sebaliknya hanya memperlihatkan sikap terdesak kerajaan memotong pelbagai perbelanjaan yang perlu seperti tiada pilihan lain yang lebih baik.

“Pada masa ini, paling utama sektor perkhidmatan awam perlu dipacu dengan hala tuju yang jelas mengenai aspirasi Kerajaan bukannya dibiarkan setiap parti yang berbeza-beza ideologi memperalatkannya sesuka hati.

“Kecekapan perkhidmatan awam mesti ditingkatkan selari dengan jumlah rakyat yang semakin bertambah, kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan, kepesatan perkembangan maklumat dan kecanggihan teknologi komunikasi,” katanya lagi.

Terdahulu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah berkata, mekanisme baharu yang menggantikan skim pencen perkhidmatan awam dijangka dilaksanakan tahun depan membabitkan lantikan baharu dalam sektor itu.

Menurutnya, inisiatif yang disasarkan dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan sehingga RM5 bilion setahun itu bagaimanapun masih perlu diperhalusi dan bergantung kepada keputusan muktamad kerajaan.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Abdullah Sani Abdul Hamid (Kapar) antara yang menentang pemansuhan sistem itu menyifatkan cadangan tersebut sebagai penganiayaan kepada kakitangan awam. -MalaysiaGazette