Luar Negara

‘Manusia Pokok’ semakin teruk

By  | 

DHAKA: Lelaki Bangladesh yang digelar ‘Manusia Pokok’ kerana ketumbuhan pada tubuhnya kembali ke hospital hari ini selepas keadaannya semakin buruk.

Abul Bajandar, 28, menjalani 25 pembedahan sejak 2016 untuk membuang ketumbuhan pada tangan dan kakinya di Hospital Kolej Perubatan Dhaka.

Doktor hampir mengisytiharkan kejayaan rawatan mereka sebelum ia berulang yang memaksa Bajandar melarikan diri Mei lalu tanpa memberitahu kakitangan hospital.

Namun hari ini beliau dimasukkan semula ke hospital selepas keadaannya semakin teruk, dengan ketumbuhan kini meliputi hampir seluruh tangan dan kaki.

“Saya tersilap kerana meninggalkan hospital. Saya mencari rawatan alternatif tetapi tidak berjumpa.

“Kini saya faham saya terpaksa tinggal di hospital dan meneruskan rawatan di sini,” kata Bajandar.

Pakar pembedahan plastik di hospital itu, Samantha Lal Sen, berkata doktor akan menyambung semula rawatan dengan kadar segera, menambah ketumbuhan itu sudah merebak ke bahagian lain tubuh Bajandar.

“Saya meminta Bajandar kembali segera ke hospital.

“Kini kami perlu bermula dari awal. Kami perlu melakukan lebih banyak pembedahan,” katanya.

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menjanjikan rawatan percuma kepada Bajandar selepas nasibnya menarik simpati rakyat negara itu.

Beliau tinggal di kabin peribadi mewah hospital berkenaan dengan isteri dan anak perempuan mereka hampir dua tahun ketika pusingan pertama rawatan.

Lelaki berkenaan ialah salah seorang epidermodysplasia verruciformis, masalah genetik amat jarang juga dikenali sebagai ‘sindrom manusia pokok’.