Semasa

‘Mengucap panjang’ saya…

By  | 

“SEMALAM, dia macam berat hati nak pergi kenduri di rumah rakannya, lama dia ambil masa untuk bersiap sampai saya pun rasa pelik,” kata Mat Ali Mamat, 82.

Dia adalah bapa kepada mangsa maut dalam kemalangan di Simpang Tiga Batu Karang, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, di Pasir Mas, semalam.

Dalam kejadian 6.50 petang itu, mangsa, Muhamad Azrol Hisham Mat Ali, 23, maut di tempat kejadian apabila Toyota Hilux dinaikinya bersama seorang rakan terbabas ke bahu jalan sebelum dia tercampak keluar daripada kereta.

Mat Ali berkata, dia menerima berita kemalangan itu daripada penghulu kampung sebelum terus bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, sebaik tiba, dia melihat anaknya itu sudah tidak bernyawa lagi.

“Pada awalnya saya dimaklumkan dia hanya kemalangan biasa namun apabila sampai di lokasi saya hanya mampu mengucap panjang melihat jasad anak sudah ditutup penuh dan diusung pihak bomba untuk dibawa ke hospital.

“Luluh hati saya dengan kejadian ini namun terpaksa menerima ketentuan takdir bahawa Paksu Yih (gelaran mangsa di rumah) sudah pergi buat selamanya. Tiada perubahan sikap ditunjukkan sebelum ini, namun sebelum dia keluar dari rumah pagi semalam dia kelihatan resah.

“Arwah seorang anak yang baik, orangnya pendiam tapi murah dengan senyuman. Malah, dia amat disenangi dalam kalangan rakan selain rapat dengan anak saudara,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Jabatan Forensik Hospital Pasir Mas (HPM), Pasir Masa semalam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Ismail Jusoh berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada 6.55 petang dan terus bergegas ke tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati pacuan empat yang dipandu rakan mangsa dari Pasir Mas ke Rantau Panjang hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melanggar pokok dan jatuh menjunam ke dalam gaung.

“Mangsa dipercayai tercampak keluar daripada kereta mengalami kecederaan teruk di kepala, manakala pemandu patah lengan kiri.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – HARIAN METRO