Luar Negara

Menyamar sebagai lelaki demi ‘keluarga’

By  | 

New Delhi: Dua remaja perempuan di India menyamar sebagai budak lelaki selama empat tahun untuk menguruskan kedai gunting rambut milik bapa mereka selepas lelaki itu jatuh sakit dan tidak mampu menyara keluarga.

Menurut laporan Gulf News India, Jyoti Kumari, 18, dan adiknya, Neha, 16, mengambil alih kedai gunting rambut di Banwari Tola di Uttar Pradesh pada 2014 selepas bapa mereka lumpuh akibat diserang strok.

Dua beradik itu baru berusia 13 dan 11 tahun ketika itu tetapi kedai gunting rambut berkenaan satu-satunya sumber pendapatan mereka sekeluarga.

Untuk menyara kehidupan, dua beradik berkenaan membuka semula kedai gunting rambut itu tetapi tiada pelanggan yang datang kerana mereka tidak percaya golongan perempuan boleh menggunting rambut dan merapi janggut atau misai mereka.

Kerana tiada pilihan dan terdesak dua beradik itu mengambil keputusan untuk menyamar sebagai budak lelaki.

“Kami menukar penampilan kami menjadi budak lelaki. Kami menukar nama, pakaian, gaya rambut, suara malah turut berkelakuan seperti lelaki.

“Sekiranya kami tidak berbuat demikian, keluarga saya akan mati kebuluran dan kami juga tidak boleh bersekolah,” kata Jyoti.

Sejak itu kedai mereka mula dikunjungi pelanggan dan dua beradik berkenaan memperoleh pendapatan kira-kira 400 rupee (RM23.26) sehari, cukup untuk menyara keluarga serta membayar yuran kolej.

Walaupun ada penduduk yang mencemuh tetapi dua beradik itu berjaya menyembunyikan identiti sebenar mereka selama empat tahun.

Selepas empat tahun, dua beradik itu semakin mahir dan mereka juga lebih yakin serta baru-baru ini mula mendedahkan identiti sebenar mereka kepada pelanggan.

“Kini kami lebih yakin dan tidak takut lagi. Ramai pelanggan yang datang walaupun tahu kami adalah wanita,” katanya.

Selepas kisah mengagumkan dua beradik itu disiarkan sebuah akhbar di India, mereka mula mendapat perhatian orang ramai dan pihak berkuasa yang memuji ketabahan serta sifat tanggungjawab mereka.

“Tanpa mengendahkan kejian dua beradik ini memikul tanggungjawab terhadap keluarga pada usia yang muda. Ini adalah kisah yang perlu diceritakan kepada masyarakat dan mereka perlu diberi penghormatan,” kata seorang pegawai tempatan, Abhishek Pandey.

Sumber : Harian Metro