Luar Negara

Minum sampai mati

By  | 

BEIJING: Seorang lelaki maut selepas meminum pelbagai jenis cecair dan menyiarkan aksi itu secara langsung di Internet semata-mata untuk menjadi popular di laman sosial.

Lelaki itu yang dikenali sebagai Chu, 29, menyiarkan secara langsung aksinya meminum bir, cecair alkohol dan juga minyak masak hampir setiap hari selama tiga bulan.

Thepaper.cn kelmarin melaporkan, Chu membuat kemunculan terakhir di aplikasi Liaoliao pada 31 Disember lalu apabila dia menyiarkan secara langsung aksinya meminum alkohol di sebuah pasar raya di Dalian, wilayah Liaoning.

“Chu maut bukannya akibat meminum alkohol pada hari itu tetapi kesan daripada apa yang diminumnya selama tiga bulan sebelum itu.

“Dia minum bir dan pelbagai lagi, tanpa rehat walau sehari,” kata seorang rakannya yang enggan dikenali.

Aksi Chu meminum pelbagai cecair itu disiarkan secara langsung di aplikasi itu dan penonton juga boleh berkomunikasi dengannya.

Rakannya memberitahu, selain bir dan alkohol, Chu pernah meminum minyak masak atas desakan peminatnya yang menjanjikan ganjaran wang tunai.

“Dalam aksi itu, Chu terduduk dan memberitahu dia tidak boleh melakukannya lagi tetapi penonton mendesak dia terus meminum minyak masak berkenaan,” jelasnya.

Menurut rakannya itu, Chu memperoleh kira-kira 500 yuan (RM304) sehari dengan membuat aksi berkenaan. – Agensi