Jenayah

Motosikal rempuh lori, 2 anggota bomba parah

By  | 

DUA anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor parah selepas motosikal ditunggangi mereka merempuh belakang lori ais di Kampung Bunohan, Tumpat, semalam.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, Mohd Badrul Hisyam Zakaria, 42, dan Mohd Zul Izzi Azmi, 28, dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk menjalani latihan renang Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa menunggang motosikal berasingan.

“Lori muatan ais itu pula dari Wakaf Bharu menuju ke Sekolah Kebangsaan Bunohan untuk menghantar ais.

“Pemandu lori memberhentikan kenderaannya di luar pintu pagar sekolah sementara menunggu sekolah itu dibuka.

“Seorang daripada penunggang motosikal merempuh bahagian tangki minyak, manakala seorang lagi melanggar pintu hadapan sebelah kiri lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, Mohd Badrul Hisyam dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), manakala Mohd Zul Izzi dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana mengalami pendarahan pada kepala.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber : Harian Metro