Jenayah

MPV Polis Terbakar

By  | 

PENDANG: Sebuah kereta peronda polis (MPV) hangus terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan motosikal dan lori di Jalan Titi Akar, Kubur Panjang, semalam.

Memetik laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, penunggang motosikal terbabit yang juga anggota tentera berpangkat koperal berusia 23 tahun cedera di kaki dan dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun katanya, dua anggota MPV berusia 50 dan 30 tahun dari Balai Polis Kubur Panjang dan pemandu lori berusia 48 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika dua anggota polis MPV terbabit sedang membuat rondaan di kawasan Kubur Panjang.

“Sebaik tiba di selekoh di kawasan kejadian, tiba-tiba sebuah motosikal dipercayai terjatuh dan terbabas sebelum menggelongsor masuk ke laluan kereta MPV polis terbabit menyebabkan kenderaan itu tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal itu.

“Pada masa sama, datang sebuah lori dari arah belakang dan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang MPV berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, kereta MPV terbabit terbabas ke bahu kiri jalan dan terbakar di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, hasil siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada minyak petrol yang dibawa penunggang motosikal dalam botol minuman 1.5 liter yang tertumpah ke atas bonet hadapan MPV berkenaan sehingga menyebabkan kebakaran berlaku.

“Bagi melengkapkan siasatan, kenderaan MPV itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.