Semasa

Mukim Taiping, Bukit Gantang Diwarta Kawasan Jangkitan Anjing Gila

By  | 

IPOH: Mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama diwartakan sebagai kawasan jangkitan anjing gila atau rabies berkuatkuasa hari ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dalam kenyataan hari ini berkata ia susulan aduan daripada pemilik anjing bahawa 2 ahli keluarganya digigit di Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping pada 31 Disember lepas.

“Dua ahli keluarga pengadu digigit 5 hari sebelum dia membuat aduan. Bagaimanapun, anjing itu telah dilupus oleh pengadu pada 3 Januari.

“Sampel otak daripada anjing tersebut telah diuji dan disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh pada keesokan hari,” katanya.

Dr Quaza berkata survelan dan persampelan telah dijalankan serta-merta di dalam lingkungan 2km radius dari kawasan jangkitan bagi mengetahui status penularan penyakit rabies di kawasan tersebut.

“Sebanyak 3 lagi sampel (daripada anjing berkeliaran) telah dikesan positif daripada 30 sampel yang diambil pada 11 Januari lepas iaitu di sekitar kawasan Tupai Business Centre dan Pekan Sri Boyan,” katanya.

Dr Quaza berkata aktiviti survelan dan persampelan anjing dan kucing terbiar telah dimulakan dalam kawasan 2km hingga 10km radius secara berperingkat dari tempat jangkitan iaitu di Taman Sri Kota, Taiping.

Katanya, aktiviti survelan dan persampelan juga akan dilaksanakan di Daerah Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta.

Beliau berkata pemvaksinan anjing-anjing bertuan dalam kawasan dijangkiti rabies iaitu antara 1km hingga 10 km radius secara berperingkat dijadualkan bermula esok.

“Anjing yang divaksin akan diberi ‘collar’ sebagai tanda pengenalan dan kad rekod vaksinasi rabies akan diberikan kepada pemilik anjing yang telah diberi vaksin rabies.

“Pemusnahan anjing-anjing terbiar dalam 1km hingga 10 km radius dari foci dijangkiti rabies yang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan bermula hari ini,” katanya.

Selain itu, Dr Quoza berkata pihaknya akan menjalankan rondaan jalan raya bagi mengesan cubaan memindahkan haiwan disyaki dijangkiti rabies keluar dari kawasan jangkitan.

Beliau menasihatkan agar pemilik anjing memberi suntikan vaksin rabies selain mengurung binatang peliharaan bagi mengelak berlakunya gigitan daripada anjing berkeliaran.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak mendekati anjing berkeliaran. Jika berlaku gigitan, bersihkan luka dengan sabun dan terus ke klinik kerajaan yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh membuat sebarang aduan atau pertanyaan, dengan menghubungi Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Larut Matang dan Selama di talian 05-8072703.-FMT