Semasa

Murung ‘diserang’ geng bawang

By  | 

KUALA LUMPUR: Sering menjadi mangsa kecaman dan bahan ejekan rakan di laman sosial termasuk memalukan bentuk fizikal membuatkan gadis ini mengalami kemurungan serta tekanan yang serius.

Kata-kata ejekan atau panggilan seperti ‘hei gemuk..’, ‘dah la gemuk b***h pula..’ dan beberapa lagi kecaman yang teruk sering dilontarkan kepadanya.

Apa saja yang dimuat naik menerusi akaun Facebook, Instagram dan Twitter milik gadis berkenaan akan menjadi mangsa kecaman, malah ada kenalan yang gemar menangkap layar status serta menjadi bahan kecaman dan ejekan di dalam sembang kumpulan WhatsApp.

Keadaan itu berlarutan selama beberapa bulan dan kenalannya tidak henti mengecam serta mengkritik sehinggakan gadis itu malu untuk bertemu rakannya di pejabat sebelum meletak jawatan.

Gadis itu yang mahu dikenali sebagai Amy, 27, berkata, tindakannya untuk berhenti kerja kerana malu untuk berjumpa dengan rakan pejabatnya yang sering mengecam serta menjadi bahan ejekan mereka.

Katanya, walaupun kritikan itu mungkin biasa bagi sesetengah pihak namun ia cuma memberi kesan kepadanya yang terpaksa berdepan setiap hari.

“Saya tahu saya tidak berpakaian seperti mereka. Pakaian saya hanya baju kurung setiap hari, itupun menjadi bahan ejekan serta kecaman mereka.

“Tidak cukup di laman sosial, mereka akan mengejek saya, perli di dalam pejabat dan keadaan itu sememangnya memberi kesan besar terhadap emosi saya.

“Bayangkan bagaimana saya ingin menghadapinya setiap hari. Ejekan mereka terhadap saya setiap hari dan saya hanya mampu untuk bertahan beberapa bulan saja.

“Selepas itu saya mula merasa rendah diri dan tidak mahu untuk keluar rumah,” katanya.

Amy yang tinggal bersama kakaknya di Selangor ketika itu berkata, dia mengambil cuti kecemasan selama seminggu dan tidak mahu keluar daripada bilik.

Menurutnya, dia juga sering menangis sendirian di dalam bilik apabila mengingatkan setiap ejekan dan kecaman yang dilontarkan terhadapnya oleh rakan pejabat.

“Kakak saya sedar berhubung perubahan saya dan bertanya tentang apa yang terjadi. Selepas saya menceritakan semuanya, kakak saya merujuk kepada doktor dan saya disahkan menghadapi kemurungan kritikal serta tekanan emosi.

“Jika dulu saya hanya membaca berkenaan kes buli siber di Internet. Namun kini, saya menghadapinya sendiri dan merasai bagaimana ia sangat memberi kesan kepada kehidupan saya seharian,” katanya.

Berbeza bagi seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun apabila dia turut menjadi mangsa buli siber walaupun memiliki saiz fizikal lebih baik berbanding pembulinya.

Pelajar dikenali sebagai Nadim berkata, dia menjadi sasaran pembuli di media sosial dan juga ketua pengawas di sekolahnya.

“Saya mengenali pembuli. Dia adalah ketua pengawas di sekolah dan konflik antara saya dan dia mula timbul apabila kami meminati gadis yang sama, namun gadis itu lebih rapat dengan saya.

“Pengawas berkenaan bertindak membuli saya di media sosial dengan melontarkan pelbagai kata-kata cacian.

“Saya melaporkan kepada guru namun guru lebih mempercayai pembuli berkenaan memandangkan dia adalah ketua pengawas,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu mengakibatkannya gagal menumpukan perhatian dan malu untuk ke sekolah kerana pembuli menyebarkan cerita tentang dirinya di sekolah berkenaan.

Selain itu, kes buli siber turut membelenggu seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di mana dia menjadi bahan ejekan berikutan keadaan fizikalnya.

Remaja mahu dikenali sebagai Hanis berkata, dia sering menjadi bahan ketawa rakannya kerana saiz fizikal yang agak besar berbeza dengan rakan lain.

“Pada peringkat awal, saya tidak kisah diejek sebegitu namun kecaman mereka tidak berhenti di sekolah saja, sebaliknya turut menggunakan laman sosial.

“Malah, ramai di antara mereka yang gemar memalukan saya dengan memuat naik gambar saya dan membandingkan dengan perkara hodoh yang lain,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa berpindah sekolah kerana tidak tahan dengan ejekan selain berdepan tekanan akibat cacian dilontarkan kepadanya.

Sumber : Hmetro