Politik

Najib dakwa BN beri RM6.3 bilion kepada Kerajaan Selangor

By  | 

KUALA LUMPUR 24 Feb. -Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional menyalurkan peruntukan sebanyak RM6.3 bilion kepada Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan.

Najib berkata, peruntukan yang diberikan dari tahun 2009 hingga 2017 itu antaranya untuk penyelenggaraan jalan raya, bayaran bil lampu jalan dan lampu isyarat serta bantuan kewangan pihak berkuasa tempatan

Jumlah tersebut tidak termasuk pembangunan projek dan bantuan rakyat yang diberikan terus tanpa melalui Kerajaan Negeri Selangor.

Najib membuat pendedahan tersebut berikutan calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali yang berjanji untuk menyelesaikan masalah berkaitan perkara itu sekiranya beliau menang.

“Duit ini diberikan kepada Kerajaan Selangor untuk bantu rakyat. Sepatutnyalah. Ke mana duit itu, kena tanya Azmin Ali dan calon PH. Ke Semenyih atau tidak, rasanya tidak.

“Calon PH sendiri sahkan bahawa di Semenyih, jalannya sempit, jalan raya berlubang, lampu jalan tidak bernyala, dan ada masalah sampah sarap. Masih nak undi PH?’ kata Najib dalam satu hantara di Facebook hari ini.

Muhammad Aiman pada Khamis lalu berjanji untuk menyelesaikan masalah penduduk di Semenyih sehari selepas PRK Semenyih yang berlangsung Sabtu ini sekiranya beliau menang.

“Dalam beberapa hari ini, saya sudah bertemu dengan penduduk. Banyak aduan dan keluhan tentang jalan raya yang sempit, yang berlubang, lampu jalan yang tidak bernyala, sampah sarap, pendatang asing.

“Jadi, dua hari bulan kita menang, tiga hari bulan saya selesaikan semua masalah. Saya akan usahakan,” kata Muhammad Aiman.-UTUSAN ONLINE