Semasa

Pandu laju rempuh empat kenderaan

By  | 

JOHOR BAHRU: Pandu laju dipercayai menjadi punca sebuah kereta Mitsubishi Lancer hilang kawalan lalu merempuh empat kenderaan lain yang diletakkan di hadapan sebuah hotel di Jalan Ibrahim, Stulang Laut.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi semalam, pemandu kereta itu dan seorang penumpangnya tersepit di dalam kenderaan yang remuk.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Ahmad Nazran Omar berkata, lapan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 4.20 pagi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kami mendapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan lima kenderaan.

KEADAAN deretan kenderaan di hadapan sebuah hotel yang dirempuh sebuah Mitsubishi Lancer awal pagi, semalam.

“Sebuah kereta Mitsubishi Lancer didapati hilang kawalan lalu melanggar deretan kereta di parkir hadapan sebuah hotel. Kereta yang dirempuh membabitkan model Mazda 2, Perodua Myvi, Proton Wira dan Proton Saga BLM,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu pemandu dan penumpang Mitsubishi Lancer berusia 20 dan 24 tahun tersepit dalam kenderaan berkenaan.

“Anggota bomba mengambil masa lapan minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.

“Mangsa yang cedera di kepala, tangan dan kaki dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut. Kes diserahkan kepada polis bagi menjalankan siasatan,” katanya. – HARIANMETRO