Politik

‘PAS tutup bangkai gajah guna kopiah’ – Husam

By  | 

PASIR MAS – Parti Amanah Negara (PAN) menyifatkan tindakan Pas yang menafikan mereka tidak pernah mengkafirkan UMNO diumpamakan seperti ‘menutup bangkai gajah menggunakan kopiah’

Naib Presiden PAN Datuk Husam Musa berkata, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah seolah-olah sudah lupa dengan amanat Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang lebih dikenali sebagai ‘Amanat Haji Hadi’ telah memecahkan perpaduan masyarakat.

Beliau berkata, disebabkan amanat itu juga ada pasangan suami isteri bercerai-berai sekaligus menghancurkan institusi rumah tangga.

“Mungkin dia (Mohd. Amar) sudah lupa dengan perkara itu. Dia juga pernah menghentam teruk UMNO satu ketika dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Maal Hijrah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini hari ini.

Semalam, Mohd. Amar menafikan dakwaan pimpinan parti itu telah melabelkan UMNO sebagai kafir yang dibuat oleh pihak tertentu termasuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu juga meminta pihak yang membuat dakwaan tersebut supaya meneliti semula ceramah dan kenyataan yang dibuat oleh pimpinannya sejak dahulu sehingga hari ini.

Husam yang juga Pengerusi KADA memberitahu, di Terengganu satu ketika dahulu pernah berlaku apabila seorang imam yang hampir mengangkat takbir diusung keluar dari masjid disebabkan dia orang UMNO dan kemudian digantikan dengan individu daripada Pas.

Katanya, pengasingan kenduri kahwin dan tanah perkuburan turut berlaku di negeri berkenaan ekoran amanat tersebut.

“Sila tanya Mohd Amar kenapa perkara itu boleh berlaku?,” ujarnya – UTUSAN ONLINE