Jenayah

Pelajar maut digilis bas sekolah

By  | 

PELAJAR perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen, Segamat, maut selepas kepalanya pecah digilis bas sekolah dinaikinya di Jalan Mutiara 8, Taman Tenang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, dalam kejadian jam 3 petang itu mangsa, M Ranjani, 18, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Johore Labis Estate, Chaah selepas pulang dari sekolah.

Bagaimanapun, apabila tiba di tempat kejadian, katanya, mangsa yang berdiri di tangga pintu hadapan bas berkenaan tergelincir dan terjatuh di bawah bas berkenaan.

“Ketika kejadian, bas sekolah berkenaan menghantar pelajar pulang ke rumah di sekitar Taman Tenang. Ketika itu mangsa dipercayai berdiri di tangga pintu keluar bas berkenaan.

“Malangnya, tiba-tiba mangsa tergelincir dan kepalanya digilis tayar kiri belakang bas berkenaan.

“Mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pemandu bas lelaki berusia 71 tahun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat beberapa jam selepas kejadian.

Raub berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Segamat untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Hotline IPD Segamat di nombor 07-9324222.

Sumber : Berita Harian