Hiburan

Pelakon Bella Dally Bertunang Dengan Ahli Perniagaan

By  | 

Pelakon Bella Dally, 28, mengakui sudah bertunang dengan jejaka pilihannya yang juga seorang ahli perniagaan yang hanya dikenali sebagai Arif, 34, Sabtu lalu.

Bella atau nama penuhnya, Nabilah Ali Dally berkata, majlis itu diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri keluarga serta kenalan rapat mereka.

Katanya lagi, dia dan Arif berkenalan sejak lima bulan lalu, seterusnya memutuskan untuk bertunang selepas yakin antara mereka mempunyai keserasian.

“Saya mengenali Arif menerusi kenalan dan apabila kerap bertemu, hubungan kami semakin rapat.

“Sepanjang berkawan, kami dapat merasai keserasian antara satu sama lain. Saya pula serius dalam hal berkaitan perhubungan.

“Alhamdulillah, kami sudah selamat bertunang dan secara jujur, saya tidak pernah terfikir akan melalui fasa ini sekali lagi,” katanya.

Bella berkata, mereka merancang untuk disatukan pada tahun depan, namun masih belum menetapkan tarikh.

Ditanya mengenai Arif, Bella berkata, jejaka yang juga anak kelahiran ibu kota itu sangat berhemah dan bertanggungjawab.

“Melihatkan dirinya yang berhemah, baik dan bertanggungjawab, saya yakin untuk membawa hubungan kami ke fasa lebih serius.

“Dia tahu kedudukan saya (pernah berkahwin) dan tidak mempunyai masalah mengenai hal itu. Cuma, dia baru mendapat tahu saya adalah selebriti kerana baru mengikuti saya di Instagram,” katanya.

Terdahulu, anak kelahiran Sabah itu mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Nazim Othman pada 10 September 2016, namun berpisah pada 2 Mei tahun lalu.

Sumber : Bharian