Semasa

Pengguna Twitter dedah kursus kahwin hina wanita, ustaz buat lawak lucah

By  | 

KUALA LUMPUR, 10 Sept — Seorang pengguna Twitter mendedahkan gelagat ustaz yang membuat lawak berunsur lucah dalam kursus praperkahwinan yang dihadirinya.

Menyifatkan perbuatan itu menjijikkan, Fatin Farhana melalui bebenang Twitter kelmarin berkata pengisian kursus wajib kepada bakal pengantin anjuran sebuah majlis agama menjurus penghinaan kepada wanita.

Memberi contoh, beliau berkata ustaz yang mengaku berjawatan sebagai penolong pengarah jabatan agama selain berkelulusan sarjana dan doktor falsafah (PhD) mengingatkan peserta wanita supaya melayani kehendak seks suami “setiap masa di mana jua”.

Beliau berkata wanita “kena bagilah” dan “kerja keras sikit” jika suami mahu 12 anak ketika ustaz berkenaan menjawab reaksi balas peserta berkaitan jumlah anak yang mereka diingini.

“Baguslah beranak banyak-banyak, tiap-tiap tahun lagi bagus,” kata Fatin memetik kata-kata ustaz tersebut sambil beliau mempertikai kenyataan yang dianggapnya memberi gambaran tanggungjawab lelaki hanya berkaitan seks.

Tidak memberi perincian lokasi dan tarikh kursus tersebut, Fatin berkata ustaz sama juga ada mengaju soalan kepada peserta lelaki, “awak nak kahwin dengan dara ke janda?” sebelum jawapan berunsur lucah diberi dalam kursus berkenaan.

“Tidak ada sebut tentang tanggungjawab suami untuk membesarkan anak-anak mereka dengan baik, memastikan kesejahteraan dan keselamatan mereka, membantu kerja rumah (dia agak dikenakan terhadap wanita), mendapatkan wang yang cukup…” katanya.

Fatin berkata seorang ustaz lain pula asyik menyalahkan wanita kerana meletakkan nilai hantaran tinggi kerana “jika tidak beliau boleh kahwin lagi tiga”.

“Biasalah lelaki nak kahwin banyak, naluri seorang lelaki,” tulisnya dengan mengulang kata-kata ustaz tersebut.

Dalam hantaran kelmarin diulang siar lebih 14,000 kali, Fatin juga kesal berikutan ustaz menyifatkan kes suami dera isteri sebagai “normal”. – PROJEKMM