Semasa

Peniaga online beragama Islam wajib bayar zakat

By  | 

Peniaga beragama Islam yang menjalankan perniagaan dalam talian disaran menunaikan kewajiban membayar zakat perniagaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Ahmad Shukri Yusoff.


Menyifatkan kesedaran dalam kalangan golongan itu untuk membayar zakat masih rendah, beliau berkata adalah perlu mereka melunaskan tanggungjawab mereka bagi membolehkan PPZ membantu lebih banyak kumpulan asnaf yang berkelayakan.


“Sekiranya mereka menunaikan tanggungjawab tersebut, akan berlaku peningkatan dari segi kutipan zakat dan boleh dibahagikan kepada golongan asnaf yang memerlukan,” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian Muzakarah Zakat Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.


Muzakarah Zakat Kebangsaan 2019 dirasmikan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada yang melibatkan barangan atau perkhidmatan dan merupakan suatu tanggungjawab yang wajib ditunaikan ke atas mereka yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.


Antara syarat yang ditetapkan ialah perniagaan mestilah milik muslim, cukup nisab, cukup haul (tempoh) perniagaan, mempunyai niat berniaga untuk mendapatkan perolehan dan keuntungan serta menjalankan perniagaan dan perkhidmatan yang halal.


Ahmad Shukri dalam pada itu menyarankan supaya pusat zakat di setiap negeri bergerak aktif dalam memberi pemahaman tentang kepentingan pembayaran zakat perniagaan kepada golongan itu.


Katanya ia berikutan terdapat sebilangan peniaga dalam talian yang meraih keuntungan yang tinggi namun tidak melunaskan tanggungjawab berzakat disebabkan kurang kesedaran.


Sementara itu, beliau berkata PPZ akan berkerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam penyimpanan rekod pembayar zakat.


“Pada penghujung tahun nanti, kita tidak perlu kemukakan resit pun (dan) tidak menjadi masalah (bagi yang mengisi maklumat cukai pendapatan di kuanter kerana semua (rekod penyata zakat) sudah dihubungkan dengan LHDN dan ini akan memudahkan urusan mereka,” katanya. – Bernama

THEREPORTER