Semasa

Penjenayah dicekup ketika mahu berangkat tunai umrah

By  | 

KETUA satu sindiket dadah di Kelantan ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, ketika mahu berangkat menunaikan umrah, Khamis lalu.

Suspek berusia 37 tahun itu ditahan polis pada 2 petang susulan rampasan 700,000 pil kuda di Jalan Lubuk Kiat-Kubang Kuau, Pasir Mas, pada hari sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, terdahulu, pihaknya dengan kerjasama polis Kontinjen Kelantan menjalankan risikan menerusi Ops Toucan, sejak April lalu.

Katanya, pada 5 September, pihaknya menjalankan operasi dan menahan tiga lelaki berusia 19 sehingga 53 tahun yang menaiki Perodua Myvi di Pasir Mas, jam 12 tengah hari.

“Pemeriksaan lanjut menemui 700,000 pil kuda seberat 77.61 kilogram bernilai RM10.5 juta yang baru diambil dari negara jiran.

“Dua jam kemudian, kita menahan seorang lelaki yang juga ketua sindiket terbabit di KLIA untuk siasatan lanjut pada hari sama.

“Selepas itu, kita menahan seorang wanita berusia 48 tahun di sebuah rumah Jalan Yaakubiah di Kota Bharu, jam 5 petang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Menurutnya, sindiket ini dipercayai aktif sejak setahun lalu dengan menggunakan modus operandi mendapatkan bekalan dari negara jiran sebelum dijual secara pukal dan runcit.

“Suspek wanita adalah pengurup wang tanpa lesen dipercayai berperanan menguruskan aliran wang sindiket berkenaan,” katanya

Katanya, polis turut menyita kenderaan, wang tunai dan barang kemas bernilai RM476,000.

“Semua suspek direman selama seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – CEMPEDAKCHEESE