Semasa

Penunggang motosikal maut dirempuh di lorong kecemasan

By  | 

HULU SELANGOR: Seorang penunggang motosikal terkorban akibat dirempuh sebuah van di Kilometer 401 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini, tengah hari tadi.

Muhammad Azree Firdaus Azman, 25, berasal dari Langkap, Perak, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Slim River pada jam 7.30 malam.

Terdahulu dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, mangsa dikatakan sedang berhenti di lorong kecemasan lebuh raya itu berikutan motosikalnya mengalami kerosakan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Azman Abd Rahman, berkata van dipandu seorang warga Pakistan berusia 23 tahun dipercayai memasuki lorong kecemasan dan tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 malam tadi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, perlanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa remuk, manakala pemandu van pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERITA HARIAN