Politik

‘PH perlu tolak politik sempit kaum, agama jika mahu terus berkuasa’

By  | 

Untuk mengekalkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-15, seorang ahli parlimen PKR mencadangkan kepada kerajaan supaya terus jujur dan ikhlas untuk menjadi blok politik yang mempunyai dasar sederhana dalam politik arus perdana.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan berkenaan mesti disertai dengan ciri ciri bersifat inklusif, yang menolak politik sempit kaum dan agama, serta mengutamakan isu sosio- ekonomi rakyat.

“Maka cakap-cakap dan tindakan-tindakan selama lebih setahun setengah PH memerintah seperti: manifesto pilihanraya sendiri dilanggari, kata-kata yang menyatakan manifesto pilihan raya bukan kitab suci, dan pelbagai pusingan-U dalam membuat keputusan utama dasar dasar negara hendaklah dihentikan, jangan diulangi.

“Minta maaflah kepada rakyat pelbagai kaum dan agama, tua dan muda dari semua sektor dan lapisan yang telah berjaya menumbangkan BN yang rasuah dan menaikkan kerajaan PH yang menjanjikan perubahan dan harapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Wakil rakyat itu turut meminta kerajaan PH supaya jangan main kotor, tidak beretika dan anti demokrasi terhadap parti-parti pembangkang.

“Politik demokrasi liberal yang diamalkan di Malaysia adalah satu pertandingan permainan angka. Siapa dapat jumlah banyak mengatasi lawannya, maka dialah yang jadi pemenang.

“Percayalah PH jika terus jujur dan ikhlas untuk menjadi blok politik yang mempunyai dasar sederhana dalam politik arus perdana dengan ciri ciri bersifat inklusif, menolak politik sempit kaum dan agama, mengutamakan isu sosio- ekonomi rakyat akan diterima oleh rakyat untuk terus jadi kerajaan dalam PRU15 akan datang,” katanya.

Hassan menjelaskan bahawa tidak salah dari segi undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan untuk Umno-PAS mengadakan kerjasama politik untuk menentang PH dalam PRU15.

“Kerjasama Umno-PAS adalah cabaran terbesar kepada PH. Selagi Umno-PAS bergerak secara sah dan aman mengikut undang-undang negara dan undang-undang pilihan raya yang ada sekarang, maka PH yang mendukung kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan harus menghormati dan mengalu-alukan kerjasama Umno-PAS.

“Justeru itu PH jangan main kotor, tidak beretika dan anti demokrasi. Jangan haramkan Umno kerana hal-hal remeh-temeh dan teknikal.Takkan nak bunuh Umno sekali lagi?” katanya.

Sebaliknya Hassan memberitahu PH supaya sambut cabaran kerjasama politik Umno-PAS dengan semangat demokrasi liberal yang telah diterima semua pihak.

“Juara yang hebat di gelanggang adalah mereka yang dapat menewaskan lawan yang kuat, bukannya itik tempang,” katanya.

Piagam bersama Umno dan PAS bakal dimeterai pada 14 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Ia akan ditandatangani oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang. – MALAYSIA KINI