Semasa

Racun perosak haram murah, berkesan

By  | 

KUANTAN 10 Sept. – Murah dan berkesan dipercayai menjadi punca tindakan segelintir pekebun tidak bertanggungjawab di Cameron Highlands dekat sini menggunakan racun perosak haram yang tidak mendapat kelulusan serta berdaftar dengan Jabatan Pertanian.

Setiausaha Pertubuhan Pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata, tidak dapat menafikan perbuatan menggunakan racun perosak haram wujud di kawasan tanah tinggi berkenaan.

“Setiap kali diadakan pertemuan, pihak pertubuhan sering kali mengingatkan para pekebun supaya mengamalkan pertanian organik dan menggunakan racun perosak berdaftar dengan Jabatan Pertanian, namun tidak dinafikan ada segelintir tidak mengendahkan saranan itu.

“Ada yang curi-curi pakai racun perosak haram yang mungkin lebih murah dan berkesan, kita tidak tahu siapa berbuat demikian dan tidak boleh mengambil tindakan kerana tidak mempunyai kepakaran untuk mengesan penggunaannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Semalam, Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH), R. Ramakrishnan berkata, kajian dilakukan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2014 menggunakan sampel air di Sungai Terla, Sungai Bertam dan air paip di Brinchang, Cameron Highlands mendapati terdapat lapan bahan racun perosak berbahaya.

Menurut Ramakrishnan, berdasarkan laporan, bahan racun perosak itu ialah aldrin, heptachlor epoxide, endolsufan 11, endosulfan sulfate,  methoxychlor, enrine ketone, DDE dan Beta HCH.

Mengulas lanjut, Ee Mong berkata, tindakan tidak bertanggungjawab menggunakan racun perosak haram memberi kesan yang tidak baik kepada pekebun di Cameron Highlands apabila orang ramai mula takut untuk membeli dan makan sayur dari tanah tinggi itu.

“Disebabkan tindakan segelintir pekebun tidak bertanggungjawab, ia boleh menjejaskan keseluruhan pekebun di Cameron Highlands.

“Jadi, kita mengharapkan kerajaan mengadakan penguatkuasaan yang ketat dan terperinci bagi mengesan individu berkenaan. Kita tidak mahu kerana seekor lembu yang membawa lumpur, habis semuanya terjejas,” tegasnya.

Dalam pada itu katanya, Pertubuhan Pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands mengalu-alukan kajian yang ingin dilakukan oleh mana-mana pihak berhubung penggunaan racun perosak di kawasan tanah tinggi itu.

“Cuma apa diharapkan, kajian itu biarlah menyeluruh termasuk daripada segi sampel yang diambil. Ini bagi memberikan keadilan kepada semua pekebun,” katanya. – UTUSAN ONLINE