Semasa

Remaja lemas mandi kolam

By  | 

REMAJA lelaki ditemui lemas ketika mandi di kolam dekat Air Terjun Puncak Janing, Kuala Nerang, hari ini.

Mangsa, Mohd Razlan Sabarudin, 15, dari Taman Akasia, Kuala Nerang ditemui orang awam sebelum pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan 10.04 pagi berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Johari Saad bersama tujuh anggota dan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Setibanya di lokasi kejadian didapati ada mangsa lemas di dalam kolam di atas bukit di kawasan air terjun itu.

“Jarak dari parkir kereta ke lokasi kejadian adalah 400 meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, maklumat awal dari komander operasi, mangsa mandi bersama rakannya sebelum lemas di kolam itu.

“Mangsa diselamatkan orang awam sebelum pasukan Bomba dan Penyelamat tiba. Pegawai perubatan dari Hospital Kuala Nerang mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia di lokasi.

“Tindakan anggota membawa turun mangsa dan menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – HARIAN METRO