Semasa

Remaja maut, empat cedera kereta dinaiki terbabas

By  | 

KUALA LUMPUR 24 Feb.- Seorang remaja maut manakala empat lagi cedera selepas kereta dinaiki terbabas sebelum terbalik di Lebuh Raya Sungai Besi berhampiran bilik pameran Mazda di sini awal pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi, remaja berusia 16 tahun yang dikenal pasti sebagai Chin Xin Qi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dipercayai akibat tercampak keluar dari kenderaan. 

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.22 pagi dan sebanyak 16 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu serta BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian. 

“Sebaik tiba, kita mendapati sebuah kereta Toyota Innova telah terbalik di bahagian tepi jalan dan terdapat tiga mangsa lelaki serta wanita. 

“Lima telah tercampak keluar manakala seorang wanita tersepit di tempat duduk belakang. Wanita itu berjaya dikeluarkan pada pukul 6.13 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurut jurucakap bomba, mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.31 pagi. – UTUSAN ONLINE