Semasa

Rentung terperangkap kebakaran kilang

By  | 

PEKERJA kilang dipercayai maut akibat terperangkap dalam kebakaran di kilang perabot di Jalan Industri, Kampung Baru Sungai Buloh, petang semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.10 petang sebelum mengerahkan 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Damansara dan BBP Kota Anggerik ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba api sedang marak membakar dua lot kilang perabot teres setingkat berkenaan.

“Api berjaya dikawal pada 6.46 petang dan pada 2.22 pagi ketika bomba sedang memadamkan sisa kebakaran, pemilik kilang memaklumkan seorang pekerjanya, Tey Chee Yong, 32 tidak dapat dikesan.

“Sejurus itu, JBPM menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) ke lokasi untuk mengesan mangsa sebelum berjaya menemui tulang manusia pada 8.20 pagi hari ini.

“Tulang mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – HARIAN METRO