Luar Negara

Ribuan penduduk hadiri pengebumian 7 beradik mangsa kebakaran

By  | 

MONTREAL : Kira-kira 2,000 penduduk setempat berkabung bagi menghadiri upacara pengebumian tujuh kanak-kanak pelarian Syria yang maut awal minggu ini dalam kebakaran rumah di Halifax, timur Kanada.

Ahmad Barho dan enam adik beradik lain, Rola, Mohammed, Ola, Hala, Rana dan Abdullah, masing-masing berusia antara empat bulan sehingga 15 tahun maut dalam kebakaran di rumah mereka Selasa lalu.

Menurut laporan media tempatan, bapa mereka, Ebraheim Barho melecur teruk dan diletakkan dalam keadaan koma di hospital manakala ibu kesemua mangsa, Kawthar Barho hanya mengalami kecederaan ringan malah turut menghadiri upacara pengebumian berkenaan.

“Saya telah menghadiri banyak upacara seperti ini tetapi kali ini ia amat berbeza, maafkan saya,” kata Sheikh Hamza yang berucap di majlis itu sambil cuba menahan tangisan.

Keluarga Barho itu tiba di Kanada pada 2017 dan antara 40,000 pelarian yang diterima menetap di negara terbabit sejak 2015.

Upacara pengebumian itu yang turut mendapat liputan beberapa rangkaian berita dijalankan mengikut tradisi agama Islam.

Akibat jumlah tetamu yang ramai, ia tidak dapat dijalankan di masjid dan dilaksanakan di dewan serba guna di Halifax, dengan kesemua 2,000 kerusi habis diduduki.

“Kami semua amat terkesan dengan tragedi ini,” kata leftenan gabenor Nova Scotia, Arthur Leblanc. – AFP