Hiburan

Selena tumpu kesihatan mental

By  | 

SELEPAS menjalani rawatan akibat berdepan tekanan dan kemurungan, Selena Gomez kini lebih selesa meneruskan kehidupannya sebagai wanita solo.

Menurut sumber terdekat penyanyi itu, Selena kini lebih banyak meluangkan masa dengan keluarga dan teman.

“Selena kini menumpukan perhatian kepada kesihatan mentalnya dengan banyak membaca, bersenam dan menjaga pemakanan.

“Dia juga kini banyak meluangkan masa dengan rakan terdekatnya dan keluarga. Dia juga tidak terlalu melihat ke arah mencari pasangan dalam masa terdekat,” kata sumber itu.

Oktober lalu, Selena mendaftar masuk ke pusat pemulihan mental selepas beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat masalah emosi dan kemurungan.

Selepas keluar dari pusat pemulihan itu, dia kembali aktif di media sosial dan berterima kasih kepada peminat yang menyokongnya.

“Agak lama saya tidak muncul di sini (media sosial), tapi ingin mengucapkan selamat tahun baru dan terima kasih kepada kalian yang sentiasa menyokong saya,” tulisnya di Instagram.

Itu adalah status pertamanya selepas empat bulan menyepi tanpa sebarang muat naik di media sosial.

Tahun lalu adalah tahun yang mencabar buat penyanyi berusia 26 tahun ini dan menurut Selena, dia belajar banyak perkara daripada pengalaman.

“Tahun lalu amat mencabar, namun membuat saya menjadi lebih dewasa. Sentiasa ada cabaran dan dugaan yang membuatkan nampak siapa diri saya yang sebenarnya.

“Percayalah. Ia tak mudah. Namun, saya berbangga dengan diri saya sekarang dan teruja untuk terus berjalan ke depan. Sayang kalian,” tulisnya.

Sumber : Harian Metro