Uncategorized

SEMUA hangus termasuk seekor kucing kesayangan

By  | 

“SEMUA hangus termasuk seekor kucing kesayangan,” kata Zuziana Abu Bakar, 41, yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Kampung Gelugur Kedai di sini, terbakar semalam.

Katanya, ketika kejadian jam 8 pagi dia baru sampai di tempat kerja sebelum menerima panggilan daripada jiran meminta balik dengan segera kerana rumah terbakar.

Menurut Zuziana, kejadian dipercayai berlaku selepas dia dan suami, Alias Ngah, 46, keluar untuk bekerja sementara tiga anaknya, Nur Amalin Syakirah, 17, Mohd Afiq Tajuddin, 14, dan Mohd Zafran Irfan, 5, berada di sekolah serta Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

ANGGOTA bomba memadam kebakaran.

“Sebaik dimaklumkan kejadian itu, saya yang berada di tempat kerja di kilang keropok lekor Pengkalan Setar bergegas pulang ke rumah dan menghubungi suami memaklumkan kebakaran itu.

“Namun apabila tiba di depan rumah, api marak dan tiada apa yang boleh diselamatkan termasuk kucing kesayangan yang dibela sejak dua tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan mengenai kebakaran itu jam 8.15 pagi.

Katanya, 33 pegawai dan anggota bersama lima jentera dari BBP Kuala Terengganu dan Jalan Kota dikerahkan ke lokasi bagi operasi memadam kebakaran.

“Kebakaran menyebabkan kediaman berkeluasan 14×18 meter persegi musnah sepenuhnya.

“Ketika ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – HARIANMETRO