Semasa

Seorang maut tiga cedera, kereta terbabas

By  | 

SEORANG wanita maut, manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki terbabas dan merempuh besi penghadang di Kilometer 231.5 Lebuh raya PLUS arah utara dekat Kuala Kangsar, 5 petang, hari ini.

Bagaimanapun, semua identiti mangsa masih belum diperoleh.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 5.13 petang.

Katanya, ketika anggota tiba, kereta Toyota Vios didapati remuk selepas merempuh besi penghadang di kiri jalan.

“Anggota bertindak mengeluarkan semua mangsa iaitu dua wanita dan dua lelaki ke tempat selamat.

“Bagaimanapun, seorang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan bertugas. Mayat kemudian diserahkan polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat dan mangsa cedera turut dihantar ke hospital sama.

“Operasi menyelamat semua mangsa tamat pada 6.35 petang,” katanya.

Sumber : Harian Metro