Semasa

Sindiket pelacuran guna aplikasi WeChat tumpas

By  | 

KUALA LUMPUR: Seramai 15 wanita warga Vietnam dan Indonesia diberkas dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Putrajaya, ke atas sebuah premis di Bandar Puteri Puchong, Selangor, malam tadi.

Serbuan oleh Unit Quick Response Team (QRT) itu dibuat pada jam 7 malam, selepas Imigresen mengesan kegiatan penawaran khidmat pelacuran menggunakan aplikasi WeChat membabitkan wanita warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata pihaknya menghadapi pelbagai halangan dan kesukaran ketika menjalankan serbuan di premis berkenaan yang dipercayai menawarkan perkhidmatan seks dengan harga dari RM178 untuk tempoh masa selama 45 minit.

“Sebaik sampai di lokasi, kawasan persekitaran premis itu dikawal sepenuhnya dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan juga pintu bermagnet yang dikendalikan melalui alat kawalan jauh.

“Ketika serbuan, penjaga premis terus mematikan bekalan elektrik dan lampu di tingkat 2 sebagai makluman mengenai operasi kepada wanita warga asing yang berada dalam bilik bersama pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata terdapat pintu rahsia untuk menuju ke bilik yang digunakan untuk perkhidmatan seks, diletakkan dengan cermin bagi mengaburi pihak berkuasa mengesan laluan antara tingkat 1 dan 2.

“Premis ini kerap dikunjungi oleh pelanggan warga asing seperti Belgium, Iran, Jepun, Korea dan sebagainya.

“Penjaga premis juga turut mengupah ‘tonto’ yang akan sentiasa berada di luar premis bagi memaklumkan sekiranya ada pergerakan atau perancangan serbuan oleh pihak berkuasa ,” katanya.

Selain menahan 15 wanita dipercayai pelacur, Imigresen turut menahan dua lelaki warga Myanmar dipercayai pekerja premis serta seorang lelaki tempatan yang juga penjaga dan penyelia premis.

Khairul Dzaimee berkata aktiviti pelacuran berterusan meskipun beberapa kali diserbu penguat kuasa sebelum ini.

Semua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan susulan.

Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sumber : Berita Harian