Luar Negara

Suami isteri disabit bunuh amah dan sumbat dalam peti sejuk

By  | 

DAMSYIK: Seorang wanita Syria didapati bersalah di negara asalnya atas dakwaan membunuh pembantu rumah warga Filipina yang mayatnya ditemui disumbat dalam peti sejuk di Kuwait tahun lalu.

Al-Jazeera melaporkan, Mona Hassoun disabitkan dengan kesalahan itu di Mahkamah Jenayah Daerah Syria kerana membunuh Joana Demafelis, 29, kata Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) dalam kenyataan hari ini.

Suaminya, Nader Essam Assaf yang dituduh bersama, turut berdepan dakwaan bunuh secara berasingan di negara asal di Lubnan.

Pasangan itu sebelum ini sudah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati secara in absentia (tanpa kehadiran) di Kuwait pada April tahun lalu.

Joana dilaporkan hilang pada September 2016 sebelum mayatnya ditemui dalam peti sejuk di sebuah pangsapuri terbiar di bandar Kuwait dan dipercayai disimpan selama lebih setahun.

Penemuan itu menyebabkan pasangan suami isteri terbabit melarikan diri dari ke Syria.

Mereka yang diburu Interpol kemudiannya berjaya ditahan di Damsyik dan Nader diserahkan kepada pihak berkuasa Lubnan manakala isterinya kekal dalam tahanan di Damsyik. – HARIAN METRO