Jenayah

Suami isteri mencuri

By  | 

ALASAN menganggur digunakan sepasang suami isteri selepas ditahan kerana mencuri barangan di kedai kesihatan di Mid Valley Southkey, Johor Bahru, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, wanita berusia 49 tahun dan suaminya 53 tahun ditahan pada 7.40 malam.

Katanya, kejadian disedari pengawal keselamatan pusat beli-belah yang meronda di parkir kereta.

“Pengawal keselamatan ternampak lelaki dalam keadaan tergesa-gesa menolak sebuah troli bayi menuju ke sebuah kereta di parkir.

“Pengawal keselamatan menahan lelaki itu dan memintanya kemukakan resit bayaran, namun dia gagal melakukannya,” katanya.

Menurutnya, pengawal keselamatan itu memeriksa bonet Proton Perdana dan menjumpai barangan yang dicuri.

“Ketika kejadian suspek dan isterinya cuba melarikan diri. Lelaki itu bagaimanapun ditangkap di kawasan parkir manakala isterinya di laluan keluar eskalator pusat beli-belah itu,” katanya.

Menurutnya, lokasi kejadian mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan rakaman menunjukkan perbuatan pasangan yang mencuri barang.

Katanya, suspek lelaki berpura-pura menolak kereta sorong bayi manakala isterinya mengalihkan kedudukan barang ke ruang tempat tiada kakitangan.

“Kemudian wanita itu memasukkan barang ke dalam kereta sorong bayi yang ditolak suaminya,” katanya.

Menurutnya, suspek lelaki kemudiannya keluar daripada kedai dan meletakkan barang di dalam kereta.

“Ketika itu isterinya akan berpura-pura seperti tidak mahu membeli barang dan keluar dari kedai,” katanya.

Hasil soal siasat awal, katanya, kedua-dua suspek mengaku mencuri barang itu dan ini kali kedua mereka melakukan jenayah di premis sama dengan alasan mereka tidak bekerja.

Antara barang dirampas ialah susu jenama Ensure 850 gram, susu Glucerna 850g, susu Enercal Plus 900g, Appeton Wellness 60+ 900g dan beberapa kotak Brand Essence Of Chicken.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. – HARIAN METRO