Jenayah

‘Sudahlah dicuri, dibakar pula’

By  | 

BINTULU: Luluh hati seorang lelaki apabila kereta kesayangan miliknya yang dilarikan pencuri di Jalan Miri – Bintulu, Rabu lalu ditemui dibakar di kawasan sunyi di sebuah ladang sawit di Samalaju, di sini petang semalam.

Difahamkan, pemiliknya ada menerima panggilan telefon dari orang awam mengatakan kereta itu dilihat di Simpang Bakun dan bergegas ke sana untuk menjejakinya.

Malah, berlaku adegan kejar mengejar sejurus lokasi kereta itu dikesan, namun suspek berjaya meloloskan diri sebelum dipercayai membakar kenderaan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju, Hashim Morshidi mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan penemuan sebuah kereta terbakar di laluan sunyi di ladang berkenaan kira-kira jam 4.24 petang semalam.

Katanya, enam anggota bomba bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Sejurus sampai di lokasi kejadian, api didapati sedang marak, dengan sebahagian besar kenderaan itu musnah. Anggota bertugas menggunakan alat pemadam api mudah alih untuk memadamkan kebakaran.

“Kita kemudian menghubungi pemilik kereta pada jam 10.09 malam tadi untuk memaklumkan kejadian itu. Malah, beliau turut dibawa ke lokasi kejadian dan mengesahkan kereta itu memang miliknya,” katanya.

Hashim berkata, pihaknya turut menemui empat tayar dan rim kereta itu di kawasan semak berhampiran dipercayai tidak sempat dilarikan penjenayah terbabit.

Kes diserahkan kepada polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Sumber : Berita Harian