Semasa

Tak sempat buat pesanan air

By  | 

WANITA berdepan detik mencemaskan apabila kereta dipandunya tiba-tiba mengeluarkan asap sebelum terbakar ketika sedang membuat pesanan di laluan pandu lalu sebuah restoran di Jalan Anggerik Vanilla 31/93, Seksyen 31 di Shah Alam, petang semalam.

Kejadian berlaku apabila juruwang di kaunter pandu lalu melihat asap keluar daripada bonet kereta ketika mangsa berusia 38 tahun itu sedang membuat pesanan minuman.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Ahmad Subhaan Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 5.26 petang dan sepasukan tujuh anggota serta seorang pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa yang memandu kereta Mazda 3 itu bagaimanapun sempat keluar sebelum kereta berkenaan terbakar.

“Setiba di lokasi, bomba mendapati sebuah kereta terbakar 70 peratus di bahagian hadapan di tepi ruangan pandu lalu bangunan restoran terbabit.

“Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan kebakaran itu,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran itu hanya membabitkan kereta dan tidak menjejaskan struktur bangunan restoran berkenaan.

Sumber : Harian Metro