Jenayah

Terkejut kereta anak hilang

By  | 

PESARA terkejut apabila Toyota Vios milik anak perempuannya yang diparkir di halaman rumah dekat Jalan Jasa 9/3, Taman Mutiara Rini, Skudai di Johor Bahru, hilang.

Lelaki berusia 65 tahun itu yang membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Rini sejurus menyedari kehilangan kenderaan itu kemudian mendapati pagar bahagian belakang rumah dipotong, manakala kunci kereta yang diletakkan di tepi pintu turut hilang.

Dalam laporan polis yang dimuat naik di laman sosial Facebook (FB) Peon JB menyatakan, pengadu menyedari kenderaan itu tiada di parkir selepas bangun daripada tidur, 4.45 pagi semalam.

“Ketika saya bangun daripada tidur, saya menyedari kereta anak perempuan saya bernombor pendaftaran QM1511B tiada di parkir halaman rumah.

“Saya bersama anggota polis dari Balai Polis Mutiara Rini menjalankan pemeriksaan dan mendapati pagar rumah di bahagian belakang dipotong, manakala kunci kereta yang saya letak di tepi pintu turut hilang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis dibuat pengadu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki mengumpil tingkap rumah pengadu dan mengait kunci rumah menggunakan batang paip PVC.

“Suspek kemudian masuk ke dalam rumah bagi mengambil kunci kereta dan melarikan kereta terbabit. Tiada kerugian lain dalam rumah pengadu,” katanya.

Menurut beliau, anggaran nilai kerugian dialami pengadu adalah kira-kira RM50,000.

“Rakaman percakapan pengadu sudah diambil dan siasatan akan terus dijalankan memandangkan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan tiada saksi bebas yang melihat kejadian terbabit,” katanya.

Dzulkhairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

Sumber : Hmetro