Hiburan

Terpaksa beri Azil ubat

By  | 

“ATAS nasihat doktor, saya kena juga berikan Azil ubat atau dos tambahan supaya dia tidak menjadi terlalu hiperaktif,” kata pelakon Zarina Zainuddin mengenai keadaan salah seorang anak kembarnya iaitu Muhammad Razil Azrai, 23, atau Azil yang juga menghidap autisme.

Zarina ketika dihubungi berkata, sebelum ini dia memberikan ubat sekali sehari iaitu pada waktu malam.

Namun, memandangkan usia semakin meningkat, anaknya itu menjadi terlalu aktif selain menggunakan tenaga yang banyak.

“Adik kembarnya iaitu Azal masih boleh dikawal. Azil saja yang perlukan pemantaun dan penjagaan lebih kerana tahap keaktifan mereka berbeza.

“Sekarang, Azil semakin agresif dan dia menjadi semakin hiperaktif. Disebabkan itu, selepas membuat pemeriksaan doktor di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, saya disarankan untuk tambah dos. Jika tak, ia boleh memudaratkan dirinya, saya dan orang sekeliling.

“Jadi, bermula semalam saya sudah mula berikan ubat pada waktu pagi iaitu bagi kadar separuh dan malam bagi kadar penuh,” katanya.

Zarina berkata, nasihat doktor itu sudah lama namun dia tidak berbuat sedemikian kerana kasihan melihat keadaan anaknya yang menjadi lemah seperti orang sakit.

“Azil memang tak boleh dibiar sendirian. Tak macam adiknya. Kalau saya tak ada aktiviti memang saya menjaganya. Disebabkan itu saya bagi ubat pada waktu malam saja.

“Hari ini Azil kelihatan okey. Cuma, saya masih perlu ada di sisinya,” katanya.

Menurut Zarina, insiden yang berlaku semalam seperti yang dimuat naik di Instagram bukan untuk meraih simpati atau sengaja dikongsi.

“Saya yang melalui perkara ini, jadi saya lebih tahu. Apa yang Azil buat semalam itulah keadaan dirinya sekarang jika tidak diberikan dos tambahan,” katanya.

Sumber : Harian Metro