Semasa

Tiga pelajar hilang ditemui di Taiping

By  | 

TIGA remaja yang hilang selepas tidak pulang ke pusat jagaan Rumah Kanak-Kanak Arau (RKK Arau) daripada latihan rumah sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Arau semalam sudah ditemui polis.

Mereka dipercayai dalam perjalanan ke rumah saudara salah seorang daripada mereka, Amira Anisa Aziman, 16, di Taiping bagi melawat saudara Anisa.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, mereka ditemui di dua lokasi berasingan iaitu seorang di Perlis manakala dua lagi di Taiping, Perak.

Katanya, hanya Amira dan Nishanty Nantha Gopal, 17 yang sempat ke Taiping hari ini manakala Nirosha Nantha Gopal, 14, sedang menunggu seorang lagi rakan mereka di sebuah sekolah petang tadi.

“Nirosha ditemui seorang guru di sebuah sekolah rendah di daerah ini hari ini sebelum guru terbabit memaklumkan kepada RKK Arau dan menjemputnya pulang ke pusat jagaan berkenaan.

“Dia (Nirosha) memaklumkan kakaknya bersama Amira dalam perjalanan ke Taiping dengan menaiki kereta api dan polis di Taiping menunggu mereka di stesen KTMB Taiping,” katanya.

Nanda berkata, mereka sudah merancang untuk melawat saudara Amira sejak kelmarin.

“Mereka rancang pergi berempat tetapi si adik tidak sempat menemui seorang lagi rakannya sebelum rancangan mereka terbongkar dan kes ini tiada unsur penculikan atau lain-lain jenayah.

“RKK Arau kini sedang mengambil dua lagi remaja yang berada di Balai Polis Taiping dan kes ditutup selepas mereka tampil ke Balai Polis Arau malam ini,” katanya.

Portal berita Harian Metro hari ini melaporkan tiga remaja perempuan dari Rumah Kanak-Kanak Arau, Guar Nangka, Arau hilang apabila tidak pulang semula ke pusat jagaan itu selepas menjalani latihan rumah sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Arau semalam.

Kehilangan mereka disedari pemandu RKK Arau yang mendapati ketiga-tiganya tidak menunggu pemandu terbabit di tempat biasa di sekolah itu selepas habis latihan rumah sukan.