Semasa

‘Tolonglah padam video dan gambar arwah di lokasi’ – Isteri

By  | 

“SAYA tengok sendiri video keadaan suami yang tular itu… tolonglah padam video dan gambar arwah di tempat kejadian,” rayu Khatijah Abdul Karim, 36.

Khatijah isteri kepada Allahyarham Mohamad Suhaimi Khamis, 38, pemandu lori tangki yang maut dalam kemalangan membabitkan kebakaran dua lori di Kilometer 372 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Slim River, hari ini.

Menurutnya, dia mendapat berita mengenai kemalangan itu daripada adik arwah yang menghubunginya tidak berapa lama selepas kemalangan itu tersebar di media dan media sosial.

“Arwah keluar rumah pergi kerja kira-kira jam 6 pagi tadi dan dia tidak menunjukkan apa-apa perubahan,” katanya yang kelihatan lemah ketika ditemui di Hospital Slim River, hari ini.

Khatijah yang kini sarat mengandung tujuh bulan anak keempat, dikurniakan tiga anak termasuk kembar Mohd Ammar dan Mohd Amir berusia sembilan tahun serta anak perempuan, Afikah berusia lapan tahun.

Sementara itu, seorang saudara terdekat Rokiah Mohamad, 68, berkata, sejurus menerima berita menimpa arwah dia bersama isteri serta anak mangsa terus bertolak ke Hospital Slim River.

“Sebelum ke hospital saya sempat berbual dengan isteri arwah yang memaklumkan sebelum pergi kerja awal pagi tadi, Mohamad Suhaimi sempat tanya duit belanja dapur,” katanya ketika ditemui sedang menemani tiga anak arwah di perkarangan hospital.

Menurutnya, ahli keluarga dan anak Allahyarham bersetuju membawa jenazah pulang ke Kampung Kenangan Batu 13, Puchong, Selangor untuk dikebumikan, kerana rumah keluarga terletak di Felda Mayam, Pahang.

Sumber : Harian Metro