Jenayah

Tulang rusuk retak, paru-paru Adib cedera – Saksi

By  | 

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa paru-paru anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, mengalami cedera parah yang disebabkan objek tumpul (blunt trauma) ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), tahun lalu.

Doktor Bahagian Kecemasan SJMC, Dr M Nantha, 39, berkata ketika bertugas di wad kecemasan SJMC pada 27 November 2018, beliau menerima seorang pesakit di mana keadaannya kritikal iaitu sukar bernafas, tidak sedarkan diri dan mengeluarkan suara yang tidak boleh difahami.

Dr Nantha berkata, selepas membawa pesakit ke zon merah, beliau membuat pemeriksaan pada muka pesakit dan bahagian abdomennya tetapi tiada kecederaan.

Dr Nantha yang juga saksi ke-12 itu berkata, denyutan nadi pesakit lemah dengan kiraan 145 setiap minit manakala oksigen pesakit hanya 48 peratus di mana berada parasa normal iaitu 95 peratus.

Beliau kemudian memutuskan untuk melakukan prosedur intubasi iaitu memasukkan tiub endotrakeal (ET) melalui mulut ke tenggorok (trechea) kemudian ke saluran udara bagi membolehkan mangsa bernafas.

“Saya memeriksa bahagian depan badan pesakit dan mendapati ada kesan lebam di rusuk kanan seterusnya mengarah supaya membuat X-Ray (Sinar X),” katanya ketika disoal Pegawai Pengendali Kes, Zhafran Rahim Hamzah dalam perbicaraan inkues kematian Muhammad Adib yang parah dalam kejadian kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, tahun lalu.

Zhafran : Boleh huraikan apakah yang kamu dapati di bahagian kanan rusuk pesakit selepas membuat Sinar X?

Dr Nantha : Saya dapati ada retakkan di bahagian rusuk kanan mangsa. Ada empat tulang rusuk yang patah dan juga terdapat kecederaan pada paru-paru.

Zhafran : Apakah kecederaan major yang pesakit alami ketika itu?

Dr Nantha : Kecederaan paru-paru adalah kecederaan major yang dialami pesakit dan pada asasnya kecederaan itu menyebabkan paru-paru pesakit luka.

Zhafran : Kemudian apa yang kamu lakukan?

Dr Nantha : Saya bersama dua lagi doktor mengambil keputusan untuk melakukan tiub dada (chest tube) kerana kami dapati barangkali pesakit berdepan dengan Pneumothorax (kegagalan paru-paru).

Zhafran : Apa maksud Pneumothorax?

Dr Nantha : Pneumothorax iaitu pengumpulan udara atau gas di bahagian rongga antara paru-paru dan dinding dada yang disebabkan terdapatnya kebocoran di antara rangka dada dan paru-paru (ruang pleura) sehingga menyebabkan paru-paru menjadi kecut.

Dr Nantha berkata, seterusnya beliau mengarahkan supaya CT Scan dilakukan ke atas pesakit untuk melakukan imbasan pada keseluruhan badan pesakit.

Selepas beberapa jam melakukan intubasi dan tiub dada, beliau mendapati muka, abdomen, badan dan skrotum pesakit bengkak.

Katanya, ia kemungkinan disebabkan oleh Sub Cutaneous Emphysema iaitu terdapat kebocoran udara di bawah kulit pesakit.

Tambah beliau, punca kebocoran itu disebabkan paru-paru cedera yang berkemungkinan disebabkan udara dari paru-paru keluar.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Zhafran Rahim berhubung kesan lebam pada lengan kanan Muhammad Adib adalah disebabkan cengkaman tangan atau hentakan objek tumpul, beliau percaya ia disebabkan oleh hentakkan.

@beritaharian