Jenayah

Tumpasnya dua pengedar dadah

By  | 

DUA lelaki dipercayai pengedar dadah cuba melarikan diri daripada polis, namun gagal selepas Proton Waja dinaiki mereka terbabas di Kilometer 20, Jalan Tampin-Gemas dekat Bukit Putus, Gemencheh, Tampin, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku pada 9 pagi menyebabkan kedua-duanya yang berusia 28 dan 33 tahun ditahan bersama 90 gram (g) dadah.

Katanya, sebelum itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) melakukan rondaan jenayah menemui suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila didekati, pemandunya memecut laju kereta, memaksa anggota mengejar sejauh empat kilometer sebelum pemandunya hilang kawalan hingga melanggar sebuah kereta lain dan terbabas memasuki parit.

“Mereka berjaya diberkas dan pemeriksaan dalam kereta menemui 80g syabu dan 10g heroin bernilai keseluruhan RM8,500,” katanya, hari ini.

Ramli berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek yang berasal dari Skudai dan Segamat, Johor mempunyai 10 serta tiga rekod jenayah lampau dengan seorang daripadanya dikehendaki bersabit kes dadah.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga Jumaat depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber : Hmetro