Jenayah

Wanita maut digilis lori tangki

By  | 

WANITA maut, manakala suaminya parah selepas motosikal dinaiki mereka bergesel dengan lori tangki di Kilometer 2.9 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dari arah Puchong ke Subang Jaya, Subang Jaya, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang, mangsa, Mifthahul Jannath Meera Mydin, 32, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada kepala, manakala suaminya, Mohd Izwan Abu Bakar, 34, cedera pada kaki.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 6.31 petang hari ini.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 dinaiki mangsa bergesel dengan lori tangki terbabit menyebabkan mangsa wanita terjatuh lalu digilis tayar lori berkenaan pada kepala.

“Penunggang motosikal yang parah dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik hospital sama untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 016-3925903,” katanya.

Sumber : Harian Metro