Jenayah

Wanita maut kepala terhentak tiang lampu

By  | 

MELAKA – Seorang pembonceng wanita maut selepas tercampak dan terhentak kepala pada tiang lampu di persimpangan Melaka Sentral di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Ros Izanie Amira Mohd. Yakub, 23, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa yang membonceng motosikal ditunggang rakannya dari arah Bacang ke Bukit Baru telah bergesel dengan sebuah kereta Perodua Kenari.

“Akibat pergeseran itu, motosikal jenis Yamaha LC135 dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

“Pembonceng wanita bagaimanapun tercampak dan kepalanya terhantuk pada tiang lampu. Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya hanya luka di tangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, sehingga petang ini pemandu kereta yang terlibat belum tampil membuat laporan polis.

“Polis meminta saksi kejadian tampil atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, abang Ros Izanie yang hanya ingin dikenali sebagai Fiq, 31, berkata, ibunya Rofidah Mohd. Ali, 56, masih lagi terkejut dengan kejadian yang menimpa anak bongsu daripada enam beradik itu.

“Emak pengsan ketika melihat jenazah adik di lokasi kejadian dan terpaksa ditenangkan oleh adik-beradik yang lain,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, hari ini.

Menurut Fiq, walaupun adiknya itu sudah tiada namun dia amat berbangga kerana arwah masih dapat menabur bakti kepada golongan memerlukan dengan menjadi penderma organ.

Sumber : Kosmo Online