Semasa

Warga emas maut dalam bilik

By  | 

WARGA emas berusia 74 tahun ditemui mati di bilik rumahnya di Pekan Lama, Sungai Petani hari ini selepas didapati tidak keluar rumah sejak Selasa lalu.

Lelaki yang tinggal bersendirian kerana tidak pernah berkahwin itu ditemui ahli keluarga anak saudaranya jam 2.30 petang selepas dimaklumkan oleh jiran warga emas itu.

Jiran mendiang ketika dihubungi berkata, kali terakhir dia mendengar suara mendiang pada awal pagi Selasa lalu.

“Pada jam 1.30 pagi Selasa lalu, saya terdengar mendiang batuk beberapa kali, saya ingat dia sakit biasa sebab sebelum ini mendiang pernah sakit.

“Tapi saya pelik kelibatnya tidak kelihatan sejak hari itu dan bunyi radio mahu pun televisyen di dalam rumahnya juga tidak kedengaran,” katanya.

Katanya, susulan itu, tengah hari tadi dia mengambil keputusan untuk memberitahu anak saudara mendiang yang tinggal berhampiran untuk melihat keadaan lelaki terbabit.

“Kami cuba buka pintu hadapan rumahnya, namun ia berkunci dari dalam membuatkan cucu saudaranya cuba membuka tingkap biliknya dengan menggunakan peralatan khas.

“Apabila tingkap dibuka, kami nampak mendiang sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jiran mangsa jam 2.40 petang tadi memaklumkan kejadian itu.

“Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Sumber : Harian Metro