Luar Negara

Warga emas tertelan gigi palsu ketika jalani pembedahan

By  | 

LONDON – Seorang warga emas menghabiskan lapan hari dengan gigi palsunya tersangkut di dalam kerongkong selepas dia terlupa mencabutnya sebelum ditelan ketika menjalani satu pembedahan dekat sini baru-baru ini, lapor jurnal BMJ Case Reports.

Pesakit berusia 72 tahun yang tidak didedahkan identitinya itu menjalani pembedahan membuang gumpalan kecil dalam perutnya dan diberikan bius penuh.

Gigi palsunya yang dibuat daripada plat besi dan memegang tiga batang gigi palsu bagaimanapun didapati hilang selepas dia sedar di wad pesakit luar Hospital Universiti James Paget di pekan Great Yarmouth, England.

Enam hari kemudian, dia datang kembali ke hospital berkenaan dengan aduan kesukaran menelan, rasa sakit dan berdarah dalam mulut.

Doktor mulanya cuma memberikan antibiotik kepada juruelektrik yang sudah bersara itu dan menyuruhnya pulang. Lelaki itu kembali semula ke unit kecemasan dua hari kemudian dengan gejala sama sebelum gigi palsu itu dikesan berdekatan peti suaranya.

Lebih mengejutkan, doktor di hospital tersebut memaklumkan kes itu bukan yang pertama dengan sekurang-kurang enam kes lain melibatkan pesakit tertelan gigi palsu ketika pembedahan dilaporkan berlaku.

Satu prosedur diagnostik untuk melihat ke dalam kerongkong pesakit itu dijalankan sebelum satu objek berbentuk bulan sabit ditemui berdekatan peti suaranya, kemudian disahkan adalah gigi palsu lelaki tersebut.

Selepas dimaklumkan tentang penemuan tersebut, pesakit berkenaan baru sedar gigi palsunya hilang selepas menjalani pembedahan lapan hari sebelum itu. Gigi palsu itu berjaya dikeluarkan melalui satu pembedahan kecemasan dan pesakit itu dibenarkan pulang enam hari kemudian. – Agensi

KOSMO